Pages

Sunday, June 13, 2010

MINAT BARU...

(a tribute to MTB Perlis)

dipindahkan dari link asal

Alhamdulillah.. bercuti lama (lebih kurang 10 hari) agak meletihkan. Rehat yang terhad serta banyak masa juga diberikan kepada aktiviti luar rumah menjadikan cuti kali ini begitu penuh. Cuma tergerak rasa hati ingin berkongsi setitis pengalaman bersama 'otai-otai' yang ditemui semasa perjalanan pulang ke Sarawak. Sungguh mengkagumkan semangat mereka...!

Seusai keletihan menapak hampir 500 meter dengan beban di bahu, aku menyandarkan diri melepaskan lelah dan mengeringkan peluh di badan. Tersandar pada kerusi panjang di stesen KTMB Sungai Petani sambil mengisi masa dengan membaca novel kreatif Ramlee Awang Murshid bertajuk "Mikhail" yang setahun telah dibeli namun tidak pernah ditatap kandungannya (mungkin masanya baru tiba). Aku membelek-belek lembaran pada waktu senja berlabuh. Sungguh memeritkan mata jika memaksa ia bekerja pada masa ini. Lantas ku tutup bahan bacaan dan kusimpan seraya mengeluarkan tiket KTMB yang sedia dibeli oleh adikku beberapa minggu yang lalu.

"Koc S2. No 21," detik hatiku membacanya. "21 antara nombor kegemaran... dan identiti. Harap adalah yang terbaik yang dapat kukutip malam ini"

Pertemuan dengan saudara Hafiz (penolong pemandu lokomotif KTMB) sebelum menaiki koc juga banyak memberikan maklumat. "Abang kalau nak naik dok kat enjin pun takpa. Habaq ja kat drebar tu, kadang-kadang dia bagi" ujarnya bersungguh-sungguh apabila rancak aku bertanya hal-hal berkaitan lokomotif dan yang berkaitan dengan tugasnya.

Aku tersenyum. "Takpa nanti hang jadi drebar aku tak mintak dah naik dok kat enjin. Terus pi kat hang bulih?"

Ketibaan tren yang terlewat lagi membuatkan ramai mengeluh. Mujur Hafiz memberitahu puncanya. "Enjin kecik bang, tak larat tarik banyak gerabak. Sat gi abang tengoklah 2 enjin tarik gerabak. Nak bagi lepas mendaki Bukit Berapit dekat Perak tu.. "

"Masalah ni jadi tak lagi lepas landasan berkembar"

"Tak dah. Kita pakai kepala enjin baru. Dari Germany. Yang dok pakai la ni dari India bang!"

Setibanya tren mengikut penjadualan semula itu aku bergegas ke koc kelas 2 yang menempatkan koc tempat tidur. Tercari-cari katil istirahat bernombor 21. Terpana sebentar melihat sekumpulan lelaki menyandarkan beg besar mereka (anggaran 4 kaki panjang x 2 kaki tinggi; lebar tidaklah selebar mana) yang pasti seperti kepingan-kepingan papan lapis :). Asalnya aku terfikirkan jemaah haji membawa barangan (macam manalah boleh terfikir begitu sedangkan bukan musim haji sekarang ni)

"Apa ni abang? Err.. pakcik" tegurku dengan senyuman apabila terlihat seorang lelaki pertengahan usia memerhatikan lagakku yang musykil.

"Basikal..gerek" bertambah panjang lagi senyumnya apabila melihat dahiku berkerut mendengar penjelasannya.

"Oh..nak ke mana ni tuan?"aku mengubah nama panggilan.

"Kami dari Kangaq. Nak pi Ba'kelalan"

"Ba'kelalan? Sarawak? Naik gerek?" timbul minatku bertanya

Dari situ bermulalah perkenalanku dengan lelaki itu. Lelaki yang dimaksudkan itu diberi nama Zainol Abidin, berasal dari Pendang, Kedah namun kini menetap dan bekerjaya di utara tanah air, Perlis. Amat mesra dengan panggilan Pak Non. Berkumpulan seramai 4 orang dalam organisasi Perlis MTB perjalanan untuk ke LCCT dalam menjayakan misi mereka berbasikal dari Miri ke Ba'kelalan sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu.

Minat yang lama dahulu mula bercambah. Sememangnya aktiviti lasak menjadi kegemaran sejak belajar lagi.

"Tahun depan cadangan kami nak berkayuh dari Lundu (mungkin Sematan) ke Kudat, dari hujung ekoq sampai tanduk Borneo "

Aku jadi teruja. Biar betul? Satu kesempatan yang amat ditunggu-tunggu sementara masih berada di Sarawak ini.

"Kami pernah berkayuh sampai ke China, melalui Laos. Pernah berkayuh di Phuket" Pak Non menceritakan pengalamannya. Amat menarik sekali dan yang penting sekali aku sudah tertarik.

"Macam-macam kita belajaq. Kenal orang, kenal budaya adat resamnya" kukutip satu satu pengalamannya walaupun sekadar penceritaan. Barangkali untuk aku gunakan sebagai bekalan dalam kehidupan bermusafir ini. Banyak mutiara dan pengalaman yang tidak mampu kukutip namun dicurahkan dengan bersahaja dan tanpa berselindung. Daripada perbualan bertingkat katil atas dan bawah menjadi perbualan bertemu lutut. Amat bermanfaat!

"Baguih awak. Muda-muda dah berjalan jauh. Baguih!" Pak Non memberi semangat dan pujian. Namun aku rasa pujiannya adalah atas pengalamannya juga. Orang banyak berjalan ini luas pengalamannya. Namun yang lebih baik jika dapt dikongsikannya bersama-sama dengan orang lain.

"Pak Non nak mai Sarawak lagi habaqlah. Saya nak join sekali"

"Boleh, kita travel cycling dari Lundu ke Kudat. Singgah sat Kinabalu. Pak Non nak cuba naik kot trek Mesilau pula nanti"

Menarik.. memang menarik! Pak Non selaku pelopor sukan ekstrem di Malaysia ini bermurah hati mengajak aku bersama-sama mereka ini. Paling kurang masa yang banyak dan sedia terbuang ini dapat aku gunakan dengan sebaiknya sementara tiada tanggungjawab yang berat lagi.

Pertemuan tertangguh kerana kami memerlukan rehat untuk keesokan harinya...

Dan perkongsian bersambung di Food Court KL Sentral serta KFC KL Sentral sebelum aku terpaksa mengundur diri ke Senawang atas beberapa urusan peribadi.

Kesempatan yang ada digunakan untuk bertukar-tukar nombor telefon serta mengabadikan kenangan dalam gambar foto.


Untuk berkenalan dengan lebih lanjut bersama "otai-otai" ini sila lawati laman web Perlis MTB : http://perlismtb.com/blog/

Kongsi

0 comments:

Post a Comment