Pages

Tuesday, June 15, 2010

PERTEMUAN DEMI PERTEMUAN

(tribute to Puan Anizam Mohamed Yusof, Fakulti Pendidikan Teknikal, UTHM)

Lewat petang hari Selasa, 15 Jun 2010 tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Terpapar nama sahabatku seorang pensyarah di Politeknik Kuching, Sarawak.

"Zul, aku ada kejutan untuk kau. Sekejap yer"

Aku termanggu. Ada-ada sahaja sahabatku ini.

"Assalamualaikum," doa sejahtera dari suara seorang wanita menyapa.

"Wa'alaikumussalam warahmatullah"

"Awak kenal saya tak?" Lembut bercampur teruja suaranya.

Suara hatiku menggerutu. Siapa pula yang bermain teka-teki lewat petang begini. Bukan masa yang sesuai. Namun suara yang ku dengar itu serasa amat ku kenali empunyanya. Serasa ingin kuluncurkan sahaja gelaran berserta namanya ketika itu juga.

"Hmmm... ada klu tak?" Giliran aku pula berteka-teki sebelum menjawab persoalan yang diutarakan. Sekadar mendapat kepastian bukan hanya sekadar terkaan semata.

"Awak pernah datang rumah saya" Pendek sahaja jawabnya.

"Saya kenal, Puan Anizam!" Hampir separuh memekik aku memberikan jawapan yang diperlukannya. Namun penuh dengan keyakinan.

"Awak ingat lagi saya?!" Balasnya dengan hampir tidak percaya.

Mana tidak ingat. Berdasarkan pengalaman dengannya lalu, dialah antara insan yang banyak memberikan semangat dan dorongan kepadaku ketika diri dalam kesusahan dan dilema dahulu. Selaku PA (bekaslah sekarang ini) sememangnya dia banyak membantu memberi perangsang hidup serta motivasi agar diri ini terus berjaya. Namun kenangan itu berusia lapan tahun yang lalu sebelum kami terputus hubungan atas komitmen masing-masing. Dia ke United Kingdom jika tidak silap aku, menemani suaminya melanjutkan pelajaran. Sepanjang 'kesepian', dialah yang kuanggap sebagai keluarga; dengan tepat lagi sebagai kakak ketika itu.

"Eh, awak tak kahwin lagi ke?" Pantas benar dia memotong kata-kataku.

"Meh saya tolong carikan" Pantas juga dia mencelahkan cadangan.

"Hehe. Boleh juga" Aku separuh ketawa namun jawapan yang diberi sekadar pemutus kepada terbit bermacam-macam persoalan darinya lagi.

"Puan, patutlah mata saya berkerdip seminggu ni! Rupa-rupanya nak jumpa puan sebenarnya. Puan tinggal di mana buat sementara waktu ni?" Aku bertanya membuat sedikit perancangan.

"Saya tinggal di Harbour View" Pendek sahaja jawapannya.

"Puan berkelapangan malam ini?"

"Malam ni tak dapat. Ada orang nak belanja saya makan" Gembira benar bunyinya. Maklumlah jasa pendidik tidak dapat dilupa. Di mana sahaja akan diraikan jika berkesempatan masa.

"Esok puan?"

"Esok saya ke Sibu"

"Alahai, puan selia praktikal tak datang pula ke pejabat saya. Ada pelajar puan datang praktikal di sini"

"Bukan atas urusan praktikal. Saya hadir atas urusan alumni. Tak mengapalah Zulbairi, ada masa kita berjumpa nanti. Awak kena bawa saya jelajah Kuching " ujarnya berseloroh.

Aku tersenyum membisu.

Sebelum menamatkan panggilannya dia berpesan agar aku mengambil nombor telefonnya daripada sahabatku tadi. Ada juga hujung panggilannya menyatakan..

"Pandai dia... pandai" sebelum terputus.

Pandai meneka namanya rasaku. Aku memang pandai pun. Makhluk Allah yang diciptakan bijak namun tidak melawan Maha Bijaksananya Dia.

Pertemuan yang dirancang tidak menjadi. Namun pagi tadi 16 Jun 2010 aku berkesempatan bertemunya bersama suaminya, Dr Md Saidin serta beberapa orang kenalanku yang lama yang turut menyertai rombongan terbabit. Bertukar-tukar kisah dan cerita serta pengalaman dan iktibar. Pertemuan tidak lama kerana kesuntukan masa bagi mereka kerana penerbangan mereka ke Sibu hanya berbaki beberapa minit sahaja. Tidak sempat untuk mengabadikan kenangan dalam bentuk gambar foto; cukuplah sekadar catatan ringkas ini sahaja.

Namun itu sudah memadai.... ALHAMDU LILLAH

Kongsi

Sunday, June 13, 2010

MINAT BARU...

(a tribute to MTB Perlis)

dipindahkan dari link asal

Alhamdulillah.. bercuti lama (lebih kurang 10 hari) agak meletihkan. Rehat yang terhad serta banyak masa juga diberikan kepada aktiviti luar rumah menjadikan cuti kali ini begitu penuh. Cuma tergerak rasa hati ingin berkongsi setitis pengalaman bersama 'otai-otai' yang ditemui semasa perjalanan pulang ke Sarawak. Sungguh mengkagumkan semangat mereka...!

Seusai keletihan menapak hampir 500 meter dengan beban di bahu, aku menyandarkan diri melepaskan lelah dan mengeringkan peluh di badan. Tersandar pada kerusi panjang di stesen KTMB Sungai Petani sambil mengisi masa dengan membaca novel kreatif Ramlee Awang Murshid bertajuk "Mikhail" yang setahun telah dibeli namun tidak pernah ditatap kandungannya (mungkin masanya baru tiba). Aku membelek-belek lembaran pada waktu senja berlabuh. Sungguh memeritkan mata jika memaksa ia bekerja pada masa ini. Lantas ku tutup bahan bacaan dan kusimpan seraya mengeluarkan tiket KTMB yang sedia dibeli oleh adikku beberapa minggu yang lalu.

"Koc S2. No 21," detik hatiku membacanya. "21 antara nombor kegemaran... dan identiti. Harap adalah yang terbaik yang dapat kukutip malam ini"

Pertemuan dengan saudara Hafiz (penolong pemandu lokomotif KTMB) sebelum menaiki koc juga banyak memberikan maklumat. "Abang kalau nak naik dok kat enjin pun takpa. Habaq ja kat drebar tu, kadang-kadang dia bagi" ujarnya bersungguh-sungguh apabila rancak aku bertanya hal-hal berkaitan lokomotif dan yang berkaitan dengan tugasnya.

Aku tersenyum. "Takpa nanti hang jadi drebar aku tak mintak dah naik dok kat enjin. Terus pi kat hang bulih?"

Ketibaan tren yang terlewat lagi membuatkan ramai mengeluh. Mujur Hafiz memberitahu puncanya. "Enjin kecik bang, tak larat tarik banyak gerabak. Sat gi abang tengoklah 2 enjin tarik gerabak. Nak bagi lepas mendaki Bukit Berapit dekat Perak tu.. "

"Masalah ni jadi tak lagi lepas landasan berkembar"

"Tak dah. Kita pakai kepala enjin baru. Dari Germany. Yang dok pakai la ni dari India bang!"

Setibanya tren mengikut penjadualan semula itu aku bergegas ke koc kelas 2 yang menempatkan koc tempat tidur. Tercari-cari katil istirahat bernombor 21. Terpana sebentar melihat sekumpulan lelaki menyandarkan beg besar mereka (anggaran 4 kaki panjang x 2 kaki tinggi; lebar tidaklah selebar mana) yang pasti seperti kepingan-kepingan papan lapis :). Asalnya aku terfikirkan jemaah haji membawa barangan (macam manalah boleh terfikir begitu sedangkan bukan musim haji sekarang ni)

"Apa ni abang? Err.. pakcik" tegurku dengan senyuman apabila terlihat seorang lelaki pertengahan usia memerhatikan lagakku yang musykil.

"Basikal..gerek" bertambah panjang lagi senyumnya apabila melihat dahiku berkerut mendengar penjelasannya.

"Oh..nak ke mana ni tuan?"aku mengubah nama panggilan.

"Kami dari Kangaq. Nak pi Ba'kelalan"

"Ba'kelalan? Sarawak? Naik gerek?" timbul minatku bertanya

Dari situ bermulalah perkenalanku dengan lelaki itu. Lelaki yang dimaksudkan itu diberi nama Zainol Abidin, berasal dari Pendang, Kedah namun kini menetap dan bekerjaya di utara tanah air, Perlis. Amat mesra dengan panggilan Pak Non. Berkumpulan seramai 4 orang dalam organisasi Perlis MTB perjalanan untuk ke LCCT dalam menjayakan misi mereka berbasikal dari Miri ke Ba'kelalan sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu.

Minat yang lama dahulu mula bercambah. Sememangnya aktiviti lasak menjadi kegemaran sejak belajar lagi.

"Tahun depan cadangan kami nak berkayuh dari Lundu (mungkin Sematan) ke Kudat, dari hujung ekoq sampai tanduk Borneo "

Aku jadi teruja. Biar betul? Satu kesempatan yang amat ditunggu-tunggu sementara masih berada di Sarawak ini.

"Kami pernah berkayuh sampai ke China, melalui Laos. Pernah berkayuh di Phuket" Pak Non menceritakan pengalamannya. Amat menarik sekali dan yang penting sekali aku sudah tertarik.

"Macam-macam kita belajaq. Kenal orang, kenal budaya adat resamnya" kukutip satu satu pengalamannya walaupun sekadar penceritaan. Barangkali untuk aku gunakan sebagai bekalan dalam kehidupan bermusafir ini. Banyak mutiara dan pengalaman yang tidak mampu kukutip namun dicurahkan dengan bersahaja dan tanpa berselindung. Daripada perbualan bertingkat katil atas dan bawah menjadi perbualan bertemu lutut. Amat bermanfaat!

"Baguih awak. Muda-muda dah berjalan jauh. Baguih!" Pak Non memberi semangat dan pujian. Namun aku rasa pujiannya adalah atas pengalamannya juga. Orang banyak berjalan ini luas pengalamannya. Namun yang lebih baik jika dapt dikongsikannya bersama-sama dengan orang lain.

"Pak Non nak mai Sarawak lagi habaqlah. Saya nak join sekali"

"Boleh, kita travel cycling dari Lundu ke Kudat. Singgah sat Kinabalu. Pak Non nak cuba naik kot trek Mesilau pula nanti"

Menarik.. memang menarik! Pak Non selaku pelopor sukan ekstrem di Malaysia ini bermurah hati mengajak aku bersama-sama mereka ini. Paling kurang masa yang banyak dan sedia terbuang ini dapat aku gunakan dengan sebaiknya sementara tiada tanggungjawab yang berat lagi.

Pertemuan tertangguh kerana kami memerlukan rehat untuk keesokan harinya...

Dan perkongsian bersambung di Food Court KL Sentral serta KFC KL Sentral sebelum aku terpaksa mengundur diri ke Senawang atas beberapa urusan peribadi.

Kesempatan yang ada digunakan untuk bertukar-tukar nombor telefon serta mengabadikan kenangan dalam gambar foto.


Untuk berkenalan dengan lebih lanjut bersama "otai-otai" ini sila lawati laman web Perlis MTB : http://perlismtb.com/blog/

Kongsi

MENGIMBAU KENANGAN LAMA

(tribute to Cikgu Nasir dan Cikgu Yaacob)

dipindahkan dari link asal

Pertemuan yang tak terduga. Berasal dari cita-cita mulut sahaja. Sering dipersenda namun apabila kaki ini melangkah terbuka semuanya. Yang lama terpisah bertemu jua.

Berkerdip mata sebelah kiri ini semenjak pulang bercuti. Kata-kata orang asbabnya mahu berjumpa dengan orang jauh yang lama tidak ditemui dan yang sering diingati. Entahlah aku menganggap semua itu jika berlaku hanyalah kebetulan. Dan sebagai petunjuk berkuasanya Tuhan. Yang pasti harapan agar mata yang berkerdip ini kembali pulih seperti sediakala amatlah dinantikan.

Entah bagaimana terpacul beberapa kali dari mulutku ini bait-bait kata, "Nak pergi rumah Cikgu Nasir." Walaupun beberapa kali hajat yang disuarakan tidak tercapai sepanjang masa pulang bercuti namun tekad yang tersulam pasti tetap akan dilaksanakan.

Petang Khamis 3 Jun 2010 yang lalu seakan dipermudahkan, tugas menghantar adik bongsu untuk memprogramkan super-juniornya di sekolah lamanya diambil dan disisipkan dengan perancangan menziarahi guru lama, Cikgu Mohd Nasir bin Saari (atau Shaari; kurang pasti pula)

Seusai menghantar 'amanah' ayahanda ini, perjalanan diteruskan menghiliri daerah. Tujuan hanya satu untuk berkunjung, bertanya khabar dalam erti kata menziarahi guru yang pernah mendidik diri ini dan memberikan turning-over kepada diri yang dahulunya 'bebal nak mampus' yang belajar hanya sekadar mendapat tempat ketiga daripada belakang (maknanya tercorot) kepada pelajar yang seringkali menghuni tangga teratas dalam carta pelajar cute (sebenarnya adalah bijak sedikit).

Dengan berbekalkan 'peta minda' petunjuk jalan bonda aku meredah halangan pemikiran yang sering mengatakan 'malaslah', 'masa banyak lagi', dan seribu satu alasan. Mendaki bukit berhampiran taman perumahan yang menjadi kediaman guruku itu dengan kudrat motosikal tua (walaupun baharu sahaja dibeli; namun enjinnya agak kurang berprestasi tinggi) bersama harapan agar peta yang diberi tidak tersilap dek usangnya pemikiran muda ini. namun rasa sesat kian menjengah pemikiran apabila mendapati peta yang diberikan tidak sesempurna apa yang ada di hadapan mata.

"Asslamualaikum pak long"

"Waalaikumsalam"

"Tang mana tau rumah Cikgu Nasir?"

"Dekat ja..ataih bukit nun belok kiri rumah nombot 3 (tiga) "

"Terima kasih pak long!"

Mujur ada yang dapat membantu. kalau tidak pulanglah lagi dengan harapan untuk memperbaharui 'peta minda' ini.

"Sudah, rumah ketiga ni berkunci pulak. Kereta takdak, motor ja parking!" seaakan berkecai harapan apabila melihat rumah yang dimaksudkan tiada penghuni ketika itu.

"Baik confirm tanya dengan rumah sebelah" getus hati kecil.

Namun terdetik seketika apabila usai memberi salam, terpacul seorang lelaki dari ruang rehat di beranda rumah. Spontan lidah bertanya sambil menunding ibu jari (lagak sopan agaknya) "Cikgu Nasirkah ni?"

Agaknya spontan jugalah "Ya Allah! Anak murid lama!" sambil tersenyum tanganku digenggam erat dan dipelawa masuk ke rumah yang sejujurnya tersergam indah dengan landskap yang menarik sekali (walaupun simple).


Perbualan petang diisi dengan kisah-kisah lama yang amat menggamit memori. Berulang kali Cikgu Nasir menuturkan kata 'kami'lah (merujuk diriku dan rakan-rakan) sebagai anak murid pertamanya dan menggelarkan diriku sebagai seorang pelajar yang terlalu senyap ketika di dalam kelas, jarang bercakap dan yang penting sekali selalu kena buli.

"Zul kenai Cikgu Yaacob?"

"Ish Cikgu, awat tak kenainya Cikgu Yaacob"

"Dia dok setaman dengan Cikgu"

"Biar betul Cikgu?"

"Rumah dia bawah sikit tu ja. Dekat dengan simpang tu "

"Lah..entah-entah pak long yang saya tanya tadi kot. Kereta merahkan?"

"Ish, bukan."

Mujurlah bukan, nanti tak fasal-fasal jadi bahan sindiran pula angkara kesilapan sendiri. Tidak mengenal guru yang pernah mendidik diri menjadi insan yang berguna.

"Sat lagi kita pi rumah dia"ujar Cikgu Nasir.

Kebetulan tetamu Cikgu yang sedia ada sudah mahu beransur pulang, kami meneruskan gamitan memori dengan menatap gambar-gambar lama yang berkaitan.

"Hah, tu dia! Kob, Kob!"

Aku terbangun tertinjau-tinjau orang yang dimaksudkan.

"Hang kenai dak siapa ni Kob?"

"Siapa tak kenai, Mohd Zulbairi!"

Aku terkesima. Tertanya-tanya. Kuatnya ingatan Cikgu Yaacob ni. Sedangkan aku gagal mengembalikan begitu banyak kenangan kami.

"Awak ingat saya dak?"

"Ingat, siapa tak ingat. Cikgu yang selalu denda..err..tarik side-burn kami" sebenarnya pulas perut yang aku pernah kena dengannya.

Tersenyum Cikgu mendengar kata-kataku. Keizinan diminta untuk kuabadikan gambar dalam bentuk lakaran foto ini bagi tatapan semua sahabatku yang merindui kelibat mereka ini.


Pertemuan yang berlanjutan sehingga lewat petang itu diakhiri serentak dengan terbenamnya mentari. Insya-ALLAH dengan azam akan membawa pertemuan dengan anak-anak murid yang lebih besar dan meriah lagi. Amiiinnn..

Doakanlah kesejahteraan mereka dan diberikan kesabaran dalam mendidik anak murid sehingga terdaya.

Kongsi

mysinggah memulakan bicara...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Selamat datang ke mysinggah. Satu lagi laman blog saya yang terbaru. Khusus untuk memaparkan artikel-artikel yang saya garap hasil daripada perjalanan saya ke mana-mana tempat, tidak kira jauh atau dekat. mysinggah merupakan kolaborasi antara laman blog saya yang lain seperti mycreativetint, mycreativethink ataupun mycreativelense (maaf yang ini masih belum terisi; barangkali sedikit masa lagi).

mysinggah (sebenarnya "mai singgah") adalah merupakan kumpulan lontaran idea-idea saya semasa mengembara, perkongsian apa yang saya terima secara langsung atau tidak langsung serta pengalaman yang saya tempuh sepanjang hidup ini. Suka diingatkan mysinggah adalah tidak bersifat sebagai diari saya namun insya-ALLAH akan sarat terisi dengan segala yang baik dan berguna sepanjang hidup saya buat tatapan anda semua. Singgah itupun sudah membawa mesej mengembara yang sinonim dengan pelepas keletihan serta membaurkan diri dengan masyarakat, apatah lagi dengan "my" (sebutan 'komersil' mai) yang menunjukkan keramahan sebagai 'pakaian diri' kita di tempat orang; sentiasa ringan mulut dan badan (termasuk tulang). my juga adalah melambangkan identiti saya sendiri sebagai orang Kedah (tempat jatuh lagikan dikenang; inikan pula kampung halaman). Dimaklumkan juga bahawa mysinggah ini akan menjadi anchor kepada 3 blog saya yang sedia ada; maknanya setiap link yang ada pada blog saya akan disertakan dalam mysinggah ini. Dan Insya-ALLAH sekiranya tiada aral melintang, segala perjalanan saya di bumi Borneo ini (termasuk yang sudah terlipat dalam blog yang kurang konsisten dahulu) akan saya nukilkan buat tatapan anda; sekiranya adalah...

Teruskan usaha dengan berkongsi segala yang baik buat mengisi kekosongan di hati kita semua. Tidak kita apa metodologi dan caranya asalkan kebaikan itu dapat tersebar serata alam, itu sudah cukup menguntungkan diri kita sendiri dan orang lain.

Terimalah, mysinggah memulakan bicara...
Kongsi