(tribute to Puan Anizam Mohamed Yusof, Fakulti Pendidikan Teknikal, UTHM)
Lewat petang hari Selasa, 15 Jun 2010 tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Terpapar nama sahabatku seorang pensyarah di Politeknik Kuching, Sarawak.
"Zul, aku ada kejutan untuk kau. Sekejap yer"
Aku termanggu. Ada-ada sahaja sahabatku ini.
"Assalamualaikum," doa sejahtera dari suara seorang wanita menyapa.
"Wa'alaikumussalam warahmatullah"
"Awak kenal saya tak?" Lembut bercampur teruja suaranya.
Suara hatiku menggerutu. Siapa pula yang bermain teka-teki lewat petang begini. Bukan masa yang sesuai. Namun suara yang ku dengar itu serasa amat ku kenali empunyanya. Serasa ingin kuluncurkan sahaja gelaran berserta namanya ketika itu juga.
"Hmmm... ada klu tak?" Giliran aku pula berteka-teki sebelum menjawab persoalan yang diutarakan. Sekadar mendapat kepastian bukan hanya sekadar terkaan semata.
"Awak pernah datang rumah saya" Pendek sahaja jawabnya.
"Saya kenal, Puan Anizam!" Hampir separuh memekik aku memberikan jawapan yang diperlukannya. Namun penuh dengan keyakinan.
"Awak ingat lagi saya?!" Balasnya dengan hampir tidak percaya.
Mana tidak ingat. Berdasarkan pengalaman dengannya lalu, dialah antara insan yang banyak memberikan semangat dan dorongan kepadaku ketika diri dalam kesusahan dan dilema dahulu. Selaku PA (bekaslah sekarang ini) sememangnya dia banyak membantu memberi perangsang hidup serta motivasi agar diri ini terus berjaya. Namun kenangan itu berusia lapan tahun yang lalu sebelum kami terputus hubungan atas komitmen masing-masing. Dia ke United Kingdom jika tidak silap aku, menemani suaminya melanjutkan pelajaran. Sepanjang 'kesepian', dialah yang kuanggap sebagai keluarga; dengan tepat lagi sebagai kakak ketika itu.
"Eh, awak tak kahwin lagi ke?" Pantas benar dia memotong kata-kataku.
"Meh saya tolong carikan" Pantas juga dia mencelahkan cadangan.
"Hehe. Boleh juga" Aku separuh ketawa namun jawapan yang diberi sekadar pemutus kepada terbit bermacam-macam persoalan darinya lagi.
"Puan, patutlah mata saya berkerdip seminggu ni! Rupa-rupanya nak jumpa puan sebenarnya. Puan tinggal di mana buat sementara waktu ni?" Aku bertanya membuat sedikit perancangan.
"Saya tinggal di Harbour View" Pendek sahaja jawapannya.
"Puan berkelapangan malam ini?"
"Malam ni tak dapat. Ada orang nak belanja saya makan" Gembira benar bunyinya. Maklumlah jasa pendidik tidak dapat dilupa. Di mana sahaja akan diraikan jika berkesempatan masa.
"Esok puan?"
"Esok saya ke Sibu"
"Alahai, puan selia praktikal tak datang pula ke pejabat saya. Ada pelajar puan datang praktikal di sini"
"Bukan atas urusan praktikal. Saya hadir atas urusan alumni. Tak mengapalah Zulbairi, ada masa kita berjumpa nanti. Awak kena bawa saya jelajah Kuching " ujarnya berseloroh.
Aku tersenyum membisu.
Sebelum menamatkan panggilannya dia berpesan agar aku mengambil nombor telefonnya daripada sahabatku tadi. Ada juga hujung panggilannya menyatakan..
"Pandai dia... pandai" sebelum terputus.
Pandai meneka namanya rasaku. Aku memang pandai pun. Makhluk Allah yang diciptakan bijak namun tidak melawan Maha Bijaksananya Dia.
Pertemuan yang dirancang tidak menjadi. Namun pagi tadi 16 Jun 2010 aku berkesempatan bertemunya bersama suaminya, Dr Md Saidin serta beberapa orang kenalanku yang lama yang turut menyertai rombongan terbabit. Bertukar-tukar kisah dan cerita serta pengalaman dan iktibar. Pertemuan tidak lama kerana kesuntukan masa bagi mereka kerana penerbangan mereka ke Sibu hanya berbaki beberapa minit sahaja. Tidak sempat untuk mengabadikan kenangan dalam bentuk gambar foto; cukuplah sekadar catatan ringkas ini sahaja.
Namun itu sudah memadai.... ALHAMDU LILLAH