Pages

Sunday, June 13, 2010

MENGIMBAU KENANGAN LAMA

(tribute to Cikgu Nasir dan Cikgu Yaacob)

dipindahkan dari link asal

Pertemuan yang tak terduga. Berasal dari cita-cita mulut sahaja. Sering dipersenda namun apabila kaki ini melangkah terbuka semuanya. Yang lama terpisah bertemu jua.

Berkerdip mata sebelah kiri ini semenjak pulang bercuti. Kata-kata orang asbabnya mahu berjumpa dengan orang jauh yang lama tidak ditemui dan yang sering diingati. Entahlah aku menganggap semua itu jika berlaku hanyalah kebetulan. Dan sebagai petunjuk berkuasanya Tuhan. Yang pasti harapan agar mata yang berkerdip ini kembali pulih seperti sediakala amatlah dinantikan.

Entah bagaimana terpacul beberapa kali dari mulutku ini bait-bait kata, "Nak pergi rumah Cikgu Nasir." Walaupun beberapa kali hajat yang disuarakan tidak tercapai sepanjang masa pulang bercuti namun tekad yang tersulam pasti tetap akan dilaksanakan.

Petang Khamis 3 Jun 2010 yang lalu seakan dipermudahkan, tugas menghantar adik bongsu untuk memprogramkan super-juniornya di sekolah lamanya diambil dan disisipkan dengan perancangan menziarahi guru lama, Cikgu Mohd Nasir bin Saari (atau Shaari; kurang pasti pula)

Seusai menghantar 'amanah' ayahanda ini, perjalanan diteruskan menghiliri daerah. Tujuan hanya satu untuk berkunjung, bertanya khabar dalam erti kata menziarahi guru yang pernah mendidik diri ini dan memberikan turning-over kepada diri yang dahulunya 'bebal nak mampus' yang belajar hanya sekadar mendapat tempat ketiga daripada belakang (maknanya tercorot) kepada pelajar yang seringkali menghuni tangga teratas dalam carta pelajar cute (sebenarnya adalah bijak sedikit).

Dengan berbekalkan 'peta minda' petunjuk jalan bonda aku meredah halangan pemikiran yang sering mengatakan 'malaslah', 'masa banyak lagi', dan seribu satu alasan. Mendaki bukit berhampiran taman perumahan yang menjadi kediaman guruku itu dengan kudrat motosikal tua (walaupun baharu sahaja dibeli; namun enjinnya agak kurang berprestasi tinggi) bersama harapan agar peta yang diberi tidak tersilap dek usangnya pemikiran muda ini. namun rasa sesat kian menjengah pemikiran apabila mendapati peta yang diberikan tidak sesempurna apa yang ada di hadapan mata.

"Asslamualaikum pak long"

"Waalaikumsalam"

"Tang mana tau rumah Cikgu Nasir?"

"Dekat ja..ataih bukit nun belok kiri rumah nombot 3 (tiga) "

"Terima kasih pak long!"

Mujur ada yang dapat membantu. kalau tidak pulanglah lagi dengan harapan untuk memperbaharui 'peta minda' ini.

"Sudah, rumah ketiga ni berkunci pulak. Kereta takdak, motor ja parking!" seaakan berkecai harapan apabila melihat rumah yang dimaksudkan tiada penghuni ketika itu.

"Baik confirm tanya dengan rumah sebelah" getus hati kecil.

Namun terdetik seketika apabila usai memberi salam, terpacul seorang lelaki dari ruang rehat di beranda rumah. Spontan lidah bertanya sambil menunding ibu jari (lagak sopan agaknya) "Cikgu Nasirkah ni?"

Agaknya spontan jugalah "Ya Allah! Anak murid lama!" sambil tersenyum tanganku digenggam erat dan dipelawa masuk ke rumah yang sejujurnya tersergam indah dengan landskap yang menarik sekali (walaupun simple).


Perbualan petang diisi dengan kisah-kisah lama yang amat menggamit memori. Berulang kali Cikgu Nasir menuturkan kata 'kami'lah (merujuk diriku dan rakan-rakan) sebagai anak murid pertamanya dan menggelarkan diriku sebagai seorang pelajar yang terlalu senyap ketika di dalam kelas, jarang bercakap dan yang penting sekali selalu kena buli.

"Zul kenai Cikgu Yaacob?"

"Ish Cikgu, awat tak kenainya Cikgu Yaacob"

"Dia dok setaman dengan Cikgu"

"Biar betul Cikgu?"

"Rumah dia bawah sikit tu ja. Dekat dengan simpang tu "

"Lah..entah-entah pak long yang saya tanya tadi kot. Kereta merahkan?"

"Ish, bukan."

Mujurlah bukan, nanti tak fasal-fasal jadi bahan sindiran pula angkara kesilapan sendiri. Tidak mengenal guru yang pernah mendidik diri menjadi insan yang berguna.

"Sat lagi kita pi rumah dia"ujar Cikgu Nasir.

Kebetulan tetamu Cikgu yang sedia ada sudah mahu beransur pulang, kami meneruskan gamitan memori dengan menatap gambar-gambar lama yang berkaitan.

"Hah, tu dia! Kob, Kob!"

Aku terbangun tertinjau-tinjau orang yang dimaksudkan.

"Hang kenai dak siapa ni Kob?"

"Siapa tak kenai, Mohd Zulbairi!"

Aku terkesima. Tertanya-tanya. Kuatnya ingatan Cikgu Yaacob ni. Sedangkan aku gagal mengembalikan begitu banyak kenangan kami.

"Awak ingat saya dak?"

"Ingat, siapa tak ingat. Cikgu yang selalu denda..err..tarik side-burn kami" sebenarnya pulas perut yang aku pernah kena dengannya.

Tersenyum Cikgu mendengar kata-kataku. Keizinan diminta untuk kuabadikan gambar dalam bentuk lakaran foto ini bagi tatapan semua sahabatku yang merindui kelibat mereka ini.


Pertemuan yang berlanjutan sehingga lewat petang itu diakhiri serentak dengan terbenamnya mentari. Insya-ALLAH dengan azam akan membawa pertemuan dengan anak-anak murid yang lebih besar dan meriah lagi. Amiiinnn..

Doakanlah kesejahteraan mereka dan diberikan kesabaran dalam mendidik anak murid sehingga terdaya.

Kongsi

0 comments:

Post a Comment